Wednesday 21 March 2012

Kerajinan Sang Semut


Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan.
Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam keatas baginda S.A.W.
Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.
Kerajinan, daya usaha yang tinggi serta kegigihan adalah suatu frasa yang hampir sama ertinya. Namun berapa ramai daripada kita yang menghayati erti sebenarnya sebagai suatu aspek utama untuk mengorak kejayaan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan?
Berapa ramai dari kita yang menjadikan elemen rajin sebagai suatu unsur yang mesti ada dalam diri?
Terciptanya manusia sebagai khalifah di muka bumi Allah ini adalah bukti kesempurnaan kejadian manusia. Jika kita bandingkan diri kita semua dengan makhluk lain seperti haiwan dan tumbuhan, sudah tentu terdetik rasa bertuahnya diciptakan sebagai manusia yang sempurna tubuh, akal fikiran dan anggota lainnya.
Jika kita bandingkan diri kita dengan makhluk Allah bernama semut, pasti ada terlintas di fikiran bahawa semut adalah makhluk kecil yang lemah berbanding kita semua.
Semut adalah serangga bersaiz kecil dan halus tubuh badannya. Kekurangan tersebut langsung tida mendukacitakan sang semut kerana mereka hidup dalam suatu komuniti yang besar, bersatu padu dan saling bekerjasama. Kegigihan sang semut sememangnya mengatasi manusia dan ini seharusnya menjadi pedoman dan pengajaran buat insan yang berfikir.
Lihatlah bagaimana mereka meguruskan kehidupan harian dengan begitu rajin. Jika mencari makanan, mereka akan meredah segala pelusuk yang menempatkan makanan meskipun lokasinya amat jauh dari sarang.
Cubalah anda menyelusuri seekor semut dari saat dia keluar untuk mencari makanan hinggalah pulang ke sarangnya. Pasti anda akan mendapati kesungguhan yang luar biasa dan tanpa putus asa yang ada pada sang semut.
Kata seorang sarjana Barat, Henry W. Beecher,
"Satu jam yang tekun dan insentif, adalah jauh lebih baik dan menguntungkan daripada mimpi dan termenung yang bertahun lamanya."
Komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh sang semut selari dengan tuntutan Islam yang menyeru umatnya agar sentiasa bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Firman Allah s.w.t dalam surah An-Najm bermaksud:
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya." [An-Najm:39]
Dikisahkan Nabi Sulaiman A.S sedang berehat di luar Istana lalu baginda ternampak seekor semut yang sedang merayap di atas seketul batu. Baginda berasa kagum bagaimana semut itu boleh hidup di atas batu-batu yang kering di tengah-tengah padang pasir itu.
Disebabkan ingin membantu semut tersebut, Baginda menyediakan sebuah rumah kecil dengan bekalan makanan gandum didalamnya. Selepas semut itu bersetuju, maka tingallah ia di dalam di dalam rumah kecil berisi bekalan gandum itu.
Selepas sebulan lamanya, gandum itu hanya tinggal sedikit. Semut tersebut menjelaskan kepada Baginda kenapa ia lebih senang hidup di luar daripada dipelihara. Ini kerana ia bimbang Baginda akan terlupa memberinya makan kerana kebiasaannya jika di luar sana, sang semut akan makan sebiji gandum atas daya usaha dan kerja kerasnya.  
Tetapi sebaik sahaja Nabi Sulaiman memasukkannya ke dalam rumah tersebut, sang semut menyatakan bahawa ia cuma dapat makan setengah gandum sahaja supaya bekalan itu mencukupi untuk sebulan lagi.
Akhirnya Nabi Sulaiman akur bahawa usaha dan ikhtiar yang kuat sang semut dapat menjana kekuatan hidupnya. Benarlah apa yang dikatakan dalam buku Success Acceleration karya Tony Jeary:
"Bersikap optimis dan positif bukanlah hanya suatu tindakan, gimik atau formula ajaib yang perlu dilakukan apabila perlu. Sebaliknya ia adalah sesuatu yang mesti dibangun dan diamalkan sehingga ia menjadi suatu kebiasaan (a nature of response). Justeru mulai saat ini, jadilah seorang yang optimis sepanjang masa."
Sang semut menjalankan tugasnya dengan dua elemen yang penting yang boleh kita contohi iaitu 'focus' dan 'priority' (keutamaan). Sang semut sentiasa fokus iaitu memberi tumpuan kepada kawasan sumber makanan lalu melaksanakannya dengan ikhtiar yang tinggi untuk mendapatkan makanan tersebut.
Prioroti sang semut pula menekankan kepada kesesuaian kawasan sumber makanan untuk mereka perolehi. Sebaik sahaja sang semut mengenalpasti kawasan yang ingin dituju, maka segerombolan semut akan melakukan operasi mencari makanan tersebut.
Mereka melakukan dengan penuh kesungguhan sehingga berjaya. Kerana sikap itulah, sang semut jarang sekali atau mungkin tidak pernah pulang ke sarang dengan tangan kosong!
 Hakikat ini disokong oleh Presiden Indonesia pertama, Sukarno ada menyatakan,
"Orang yang rajin lebih berharga daripada seorang raja."
Wallahua'lam.

No comments: