Sunday, 18 March 2012

Mencipta Tamadun yang Hebat !


Pada hari ini, kita dapat melihat bahawa umat Islam tidak lagi bersatu dan membawa haluan masing-masing. Seperti yang kita ketahui bahawa umat Islam yang terdahulu dapat mencipta tamadun yang hebat dan Islam tersebar dengan meluas di setiap pelusuk muka bumi Allah. Islam dapat memayungi dua pertiga dunia dan sejarah telah membuktikannya.
Era kegemilangan Islam bermula sejak zaman Nabi Muhammad SAW  lagi  dan berakhir pada zaman kerajaan Islam yang terakhir iaitu Turki Uthmaniyyah.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kejayaan kepada umat Islam yang terdahulu.
Antaranya seperti berikut :
A.) Kecekapan dan Kebijaksanaan Pemimpin
B.) Penguasaan Ilmu Pengetahuan
C.) Ekonomi yang Stabil
D.) Kekuatan Pertahanan Negara
E.) Hubungan Baik antara Pemimpin dan Rakyat
F.) Semangat Jihad yang tinggi
A.) Kecekapan dan Kebijaksanaan Pemimpin
Pemimpin mempunyai wawasan yang jelas dan cekap memerintah. Mereka sangat mementingkan cara mereka membahagikan masa untuk negara dan keluarga. Antara pemimpin Islam yang boleh dicontohi ialah Umar bin al-Khattab. Beliau telah membuka wilayah-wilayah yang baru seperti Mesir, Rom dan Parsi dan melantik panglima-panglima tentera yang berkebolehan mentadbir wilayah-wilayah baru tersebut. Begitulah ciri-ciri seorang pemimpin yang cekap dan bijaksana.
B.) Penguasaan Ilmu Pengetahuan
Penguasaan ilmu pengetahuan sangat penting kerana tanpa ilmu sesebuah bangsa itu tidak mungkin akan maju.  Pada zaman kegemilangan Islam dahulu, tamadun barat berada di dalam zaman kegelapannya iaitu mereka tidak menguasa ilmu pengetahuan sehingga mereka terpaksa merujuk kepada umat Islam pada zaman itu.  Ilmu-ilmu dari dunia Islam inilah yang telah membawa kejayaan kepada bangsa Eropah.
Sebagai contohnya, Harun ar-Rashid, khalifah ke-5 dari Kerajaan Abbasiyyah sangat mencintai ilmu pengetahuan sehingga pada zaman pemerintahannya, kota Baghdad  menjadi salah satu kota ilmu pengetahuan dunia. Ini membuktikan betapa pentingnya ilmu pengetahuan.
C.) Ekonomi yang Stabil
Ekonomi yang stabil juga dapat memajukan sesebuah kerajaan sehingga menjadi sebuah tamadun yang hebat. Apabila ekonomi sudah stabil, maka mudahlah umat Islam untuk  menjalankan aktiviti perdagangan antara satu sama lain yang juga membawa kepada kemajuan umat Islam.
Sebagai contoh,  seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Abdul Rahman bin Auf, seorang badan koperat yang berjaya. Beliau telah berjaya memantapkan ekonomi orang Islam di Madinah  apabila ekonomi di Madinah pada masa itu dimonopolikan oleh orang Yahudi. Keadaan ini telah menyelamatkan umat Islam daripada ditindas dan dimanipulasikan  ekonomi mereka.
D.) Kekuatan Pertahanan Negara
Sesebuah  kerajaan itu mestilah mempunyai  ketenteraan yang kuat, sistem pertahanan negara yang mantap dan  tentera yang bersemangat tinggi dalam menyebarkan dakwah. Tanpa pertahanan negara yang kuat, sesebuah kerajaan itu boleh jatuh ke tangan musuh dan sekali gus melemahkan kerajaan tersebut.
Salahuddin al-Ayyubi, seorang panglima tentera dan juga seorang ketua negara telah memperkuatkan pasukan tenteranya sehingga boleh menawan kota Jerusalem dan sekali gus mengembalikan maruah umat Islam. Pernah satu ketika, apabila tentera-tentera Salib merancang menyerang kota Mekah dan Madinah, tentera-tentera Salib menyerang rombongan haji yang dalam perjalanan ke Mekah. Lalu Salahuddin al-Ayyubi memerintahkan tentera-tenteranya mengawal rombongan haji yang ingin ke Mekah dan berjaga-jaga di perbatasan negara Islam. Ini telah membuktikan umat Islam  mempunyai ketenteraan yang kuat.
E.) Hubungan Baik antara Pemimpin dan Rakyat
Pemimpin dan rakyat  mestilah saling tolong-menolong dalam melicinkan perjalanan pentadbiran negara. Tanpa hubungan baik pemimpin antara rakyat, mungkin sesebuah kerajaan itu tidak maju dan tidak dapat menandingi kerajaan lain. Sejarah Melayu ada berkata :
" Perumpamaan antara  pemimpin dan rakyat adalah seperti pohon pokok dan akarnya. Pemimpin adalah pohon pokok dan Rakyat adalah akarnya. Jadi tanpa akar, pohon pokok itu tidak mungkin akan bertahan lama. "
( Sejarah Melayu )
Jadi, setiap pemimpin mestilah sentiasa menjaga kebajikan rakyatnya untuk kesejahteraan negara. Contohnya, kerajaan menyediakan keperluan asa seperti hospital dan pusat pendidikan. Ini akan menyebabkan rakyat menyokong penuh pihak kerajaan. Rakyat juga mestilah menunjuk sifat taat setia kepada pemimpin mereka.
Sebagai contoh, Umar bin Abdul Aziz. Beliau sentiasa menjaga kebajikan rakyatnya sehingga beliau selalu keluar malam untuk memantau keadaan rakyatnya. Sehingga pernah suatu hari semasa beliau membahagikan buah epal, datang anak perempuan beliau lalu mengambil sebiji epal tersebut. Beliau segera menyambar semula epal  tersebut dan anak perempuan tersebut menangis lalu pulang ke rumah mengadu kepada bondanya. Selepas Umar bin Abdul Aziz pulang ke rumah, isteri beliau bertanya kepada beliau mengapa berbuat sedemikian kepada anak mereka. Lalu Umar bin Abdul Aziz menjawab, " Sebenarnya bukan aku tidak mahu bagi tetapi aku bimbang buah epal itu hak rakyat ".
Seorang pemimpin yang sangat takut kepada Allah SWT sanggup membiarkan dirinya serta keluarga kelaparan kerana bimbang akan amanah yang diberikan kepadanya tidak dilaksanakan dengan baik. Jadi apabila pemimpin dan rakyat bersatu-padu dan saling membantu antara satu sama lain, maka sesebuah kerajaan akan maju dan terus maju.
F.)     Semangat Jihad yang Tinggi
Jihad bermaksud satu usaha yang dilakukan bersungguh-sungguh untuk mencapai satu matlamat.
Jadi, pemimpin dan rakyat bersungguh-sungguh membuktikan bahawa Islam sebagai penyelamat umat. Keadaan ini mendorong mereka untuk berjihad di medan perang bagi mempertahankan agama dan negara serta mempelopori ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk kemajuan umat Islam.
Sebagai contoh, pada zaman Sultan Muhammad al-Fateh yang ingin menakluk kota Konstantinopel, beliau telah mengeluarkan panggilan jihad kepada rakyatnya. Maka rakyatnya menyatakan taat setia kepadanya dan akan bersiap-sedia untuk mempertahankan serta menginfakkan harta mereka ke jalan Allah. Mereka berjihad bersungguh-sungguh untuk menawan kota Konstantinopel dan akhirnya mereka dapat menawan kota tersebut.
Beginilah semangat jihad yang diperlukan di dalam  sesebuah kerajaan untuk memastikan keamanan dan keselamatan negara terjamin.
Jelaslah bahawa umat Islam yang terdahulu sangat hebat dan dapat membina sebuah tamadun yang hebat. Cerita di atas telah membuktikan bahawa umat Islam perlu bersatu padu dalam mengembalikan kegemilangan Islam seperti umat Islam yang terdahulu. Kita mestilah mengambil pelajaran daripada cerita di atas.
Namun secara umunya, umat Islam perlu mahir dan pakar di dalam apa jua bidang yang diceburi seperti bidang dakwah, pendidikan, perkembangan teknologi, kejuruteraan, ketenteraan, perundangan, kewangan, sains politik dan lain-lain sebagai langkah untuk memiliki kembali era cemerlang seumpama  zaman kegemilangan Islam yang silam.
Bersatulah ! Untuk Mencipta Tamadun Yang Hebat !


No comments: