Wednesday, 14 March 2012

Istiharah itu perlukan muhajadah


Benarlah, rumah tangga ummah ini sedang tergugah. Ertinya, kubu kita yang terakhir sudah ditembusi. Apabila dilaporkan setiap 15 minit berlaku satu perceraian, kita menjadi benar-benar bimbang. Betapa banyak 'masjid' yang roboh dalam masa sehari jika setiap 15 minit berlaku satu perceraian?
Akan tercapaikah perintah Allah agar "selamatkan dirimu dan keluargamu daripada api neraka?". Akan  adakah lelaki yang terbaik sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah, maksudnya"dia yang terbaik ialah yang terbaik dengan keluarganya?" Ramai isteri mahupun suami menghubungi saya, meminta pandangan, saranan dan nasihat... Terus-terang saya katakan saya juga tidak berdaya. Sumbangan saya hanya tulisan dan buku. carilah di situ, Itulah sumbangan kecil saya. Mudah-mudahan, adalah sedikit panduan. Kali ini saya paparkan satu tulisan sebagai peringatan buat diri dan semua pengunjung :
ISTIKHARAH ITUPUN PERLU MUJAHADAH..
Mengapa sukar benar hidup bersamanya? Mengapa kini dia berubah laku? Kenapa dia tidak seperti yang saya harapkan dulu? Padahal dia ada pilihan saya setelah solat istiharah. Apakah solat istikharah saya itu tersalah. Atau saya tidak faham petunjuk sebenar daripada Allah hasil istikharah saya dahulu? Saya sungguh menyesal.
Begitulah antara suara rintihan dan kelohan yang kerap kita dengar samada daripada mulut isteri atau suami setelah beberapa lama mengharungi kehidupan rumah tangga. Apabila 'warna sebenar' pasangan kita terserlah yakni setelah lima tahun rumah tangga berumah tangga, maka pada waktu itu ada yang 'reverse' ke belakang, dirasakannya masalah kini adalah akibat tersalah membuat pilihan pada awal perkahwinan.
Ini bukan muhasabah yang sehat. Sebaliknya, ini adalah satu musibah yang berat. Tidak ada gunanya 'menggergaji abuk kayu'. Masa yang berlalu tidak akan berulang kembali. Kesalahan atau kesilapannya tidak akan dapat diperbetulkan lagi. Sebaiknya bersangka baiklah kepada Allah... dia suami atau isteri kita itu ialah takdir yang telah maktub untuk kita. Dia dan kita telah ditakdirkan Allah hidup bersama.
Jangan ada di dalam hati kita rasa menyesal, rasa terlanjur, yang kita telah tersalah pilih. Tidak sekali-kali. Sekalipun pilihan kita tepat, tetapi kita tetap diuji. Maksudnya, istikharah yang betul dan tepat sekalipun bukanlah jaminan untuk kita tidak diuji. Istikarah kita tetap mengundang musibah... kerana itulah sunnatullah yang tidak berubah-ubah dan tidak sekali-kali bertukar ganti. Hidup dan mati kita adalah untuk di uji. Dunia dan medan rumah tangga hakikatnya adalah medan ujian siapakah diantara kita yang terbaik amalannya.
Pasrahlah dengan pilihan yang kita telah lakukan lewat istkharah. Kata bijak pandai, setiap perkahwinan dibina atas dasar niat, harapan dan impian yang baik namun setiap pasangan suami isteri bertanggung jawab memupuk, membajaai dan menjaga benih kebaikan itu agar tumbuh menjadi pohon yang rendang. Perkahwinan Nabi Adam dan Siti Hawa yang berlaku di syurga itupun ditakdirkan terdampar di dunia untuk diuji dengan pelbagai kesusahan dan penderitaan.
Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan...ya itu sekiranya pangkal jalan kita salah. Namun bagaimana jika pangkal jalan kita sudah benar tetapi kita menghadapi masalah di tengah perjalanan? Jawabnya, teruskan perjalanan. Jangan berpatah balik. Namun telitilah satu persatu apa yang kita telah tersalah, belajar daripadanya. Jangan ulangi kesalahan yang sama berulang kali... cukup hanya sekali kerana orang mukmin itu tidak akan terjerumus dalam lubang yang sama dua kali.
Jangan salahkan istikharah kerana itu sama dengan menyalahkan diri sendiri dan menyalahkan Allah. Apa yang penting, tanamkan di hati, bahawa Istikharah kita telah tepat, cuma setepat manapun pilihan kita hasil petunjuk Allah, kita tetap akan diuji. Ingat selalu, pilihan yang tepat hasil istikharah itu umpama benih yang baik. Ya, benih yang baik sekalipun memerlukan baja, cahaya, air dan dijaga dari gangguang serangga untuk bertunas, berdaun, berbunga dan akhirnya berbuah. Jadikanlah diri kita suami atau isteri yang umpama tukang kebun yang rajin bekerja di kebun cinta.
Carilah semula di mana iman kita letakkan di dalam rumah tangga kita. Bukankah iman yang kita yakini dulu, kini dan selama sebagai dasar dalam pembinaan sebuah keluarga bahagia? Justeru, semak semula niat di hati, apakah rumah tangga kita masih fokuskan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.  Jika dahulu dasar istikharah kita untuk menjadi dan mencari pasangan yang soleh dan solehah, apakah kita masih berjalan di garis itu? Atau niat kita sudah sedikit melencong kerana hentakan ujian dan cabaran dalam berumah tangga?
Ingat kembali bagaimana cinta kita bermula. Bagaimana istikharah telah menyatukan kita. Dengan hati yang jitu terbinalah rumah-tangga atas niat ingin menunaikan perintah Allah. Di situlah simpulan cinta dia dan kita diikat melalui akad nikah yang sah. Maka dengan nama Allah terdirilah sebuah rumah-tangga ini.
Mesjid adalah 'rumah' Allah, maka begitulah sebuah rumah-tangga yang dibina atas nama Allah – ia umpama sebuah mesjid yang didalamnya suami, isteri dan anak-anak akan menegakkan hukum-hakam Allah. Jika berlaku sesuatu yang kusut dalam rumah-tangga, maka dengan mudah ia dapat diuraikan sekiranya suami dan isteri kembali merujuk ke pangkal penyatuan mereka dahulu yakni Allah. Dengan nama Allah kita bertemu (bernikah), maka kepada Allah jua kita merujuk segala-galanya sepanjang perkahwinan ini.
Ertinya, Allah itu bukan sahaja perlu dirujuk ketika awal pemilihan semasa kita beristkharah, tetapi di pertengahan, di hujung sehingga ke akhir perjalanan sebuah rumah tangga. Tuhan telah menyediakan kebahagiaan untuk setiap pasangan yang berumah tangga, tetapi kita perlu berusaha untuk mencari dan mendapatkan kebahagiaan yang telah disediakan itu. Allah telah menyediakan rezeki untuk burung... tetapi burung perlu terbang untuk mendapatkannya!
Jika ada iman, besarlah cita-cita. Apabila besar cita-cita, menjadi keillah masalah. Keluarga yang dibina atas dasar akidah juga mampu berdepan dengan apa jua ujian. Samada ujian itu dalam bentuk kekurangan harta benda, pergeseran jiwa, perbezaan fikiran atau pertembungan emosi antara suami dengan isteri atau ibu-bapa dengan anak-anak.  Kesatuan hati mudah dibina dengan sama-sama meletakkan Allah sebagai kuasa Pencatur dan Pengatur dalam apa jua tprogram, dan aktiviti di dalam rumah-tangga.
Jika berlaku ujian kesusahan atau sesuatu yang tidak diingin, sikap menyalahkan orang lain kurang berlaku kerana masing-masing melihat kelemahan diri sendiri sebelum menuding jari kepada orang lain. Kemudian sama-sama menerima semua itu sebagai takdir lalu berusaha mengatasinya mengikut lunas-lunas yang dikehendaki Allah.
Ya, tentu ada marah. Ya, pasti ada sedih, terkilan atau apa sahaja. Namun kemarahan, kesedihan, terkilan dan apa sahaja rasa-rasa yang negatif hanya sementara, cuma seketika... cita-cita yang besar (untuk hidup bersama di syurga) menyebabkan kita mampu memaafkan, meminta maaf dan akhirnya melupakan... dan kemudian pelayaran diteruskan lagi untuk menuju cita-cita besar itu.
Istikharah bukan sahaja mengundang musibah. Istikharah juga menuntut mujahadah. Syurga itu maharnya mujahadah. Justeru tekanlah sifat-sifat mazmumah (buruk) sehingga ke paras paling minima. Bermujahadahlah kerana Allah bukan hanya untuk mendapat  penghargaan suami atau isteri. Isteri perlu mujahadah mentaati suami walaupun ketaatannya itu mungkin tidak dibalas dengan setimpal kerana dia berbuat demikian bukan mengharapkan balasan suami tetapi semata-mata kerana Allah. Walaupun takdirnya suami seorang yang menderhakai Allah tetapi itu bukanlah sebab untuk menderhakainya selagi apa yang disuruh atau dikehendakinya tidak berlawanan dengan kehendak Allah.
Inilah ketaatan yang diberikan oleh wanita solehah – Siti Asiah isteri kepada Firaun yang terkenal kerana derhakakan Allah. Siti Asiah berbuat  baik kepada Firaun bukan kerana mengharapkan balasan Firaun tetapi hanya semata-mata taatkan perintah Allah yang menyuruh seorang isteri taatkan suaminya walaupun suaminya seorang penderhaka. Hanya apabila menyentuh soal akidah, Siti Asiah bangun melawan dan akhirnya terbunuh sebagai syuhadak.
Begitulah suami yang memberi kasih sayang. Apa jua karenah isteri, terimalah dengan redha dan teruslah mendidik dan mendoakannya. Mungkin itu adalah takdir yang harus diterima kerana itulah jalan menuju syurga. Raihlah pahala dan kemuliaan seperti Nabi Ayub, Nabi Lut, Nabi Nuh, yang bersabar menghadapi isteri yang derhaka demi mengharap redha daripada Allah. Isteri itu pemberiaan daripada Allah, baik dan buruknya adalah untuk menguji kita. Jangan hanya dilihat pada pemberiannya (isteri) tetapi lihatlah siapa yang memberinya (Allah).
Apabila sebuah keluarga benar-benar beriman maka mudahlah mereka menerima syariat sebagai peraturan. Orang yang yakin dengan Allah, pasti yakin dengan peraturan-Nya. Syariat adalah jalan atau platform untuk menuju matlamat  yang telah ditetapkan bagi sebuah keluarga.  Jika matlamat jelas tetapi jalannya kabur, maka tidak mungkin matlamat itu tercapai. Cita-cita menuju Allah memerlukan kita melalui jalan yang telah dibentangkan-Nya dalam Al Quran dan As Sunnah. Jalan itu ialah syariat.
Oleh itu syariat yang merupakan peraturan-peraturan dari Allah itu mestilah menjadi panduan sepanjang melayari kehidupan berumah-tangga. Ia adalah 'writen law' yang mesti dipatuhi oleh setiap anggota keluarga. Tidak ada siapa walaupun suami atau ayah (pemimpin dalam rumah tangga) yang harus berada 'above the law.' Semuanya tertakluk kepada hukum wajib, haram, sunat, harus dan makruh dalam setiap perlakuan dan tindakan.
Pendek kata dalam rumah-tangga yang menerima syariat sebagai jalan dan peraturan tidak timbul soal 'Queen Control' atau 'King Control' tetapi suami, isteri dan anak-anak sama-sama tunduk kepada Allah – Raja segala raja. Tidak timbul siapa yang  menang atau kalah dalam sesuatu perselisihan atau siapa lebih bijak dalam suatu perdebatan.
Apabila iman dijadikan matlamat, syariat diambil sebagai jalan maka dengan sendirilah berbuahlah akhlak dalam keluarga tersebut. Akhlak adalah natijah hasil mengikut jalan yang jelas berpaksikan matlamat yang tepat.  Tanpa iman dan syariat tidak mungkin akhlak dapat dihasilkan. Di sinilah salahnya kita,  kita menyangka  istikharah itu segala-galanya. Padahal ia baru mukaddimah. Ya, terkadang kita terlalu cepat bercakap soal buah sebaik menanam biji benih tanpa menyedari banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mendapat pokok yang baik .
Di sinilah letaknya kunci ke arah pelaksanaan pakej kebahagiaan bagi sebuah keluarga. Bermula dengan istikharah, dilalui oleh mujahadah, dan akhirnya barulah membuahkan rahmah dan mawaddah. Islam memberi penyelesaian menjurus dan tembus kepada punca pemasalahan bukan mengubat gelaja-gejala atau akibat-akibatnya berkisar pada formula-formula pinggiran.
Ya, sebagai hamba Allah, merujuk kepada Allah bererti pengabdian secara total kepada kehendak dan peraturannya. Dan bila ini ingin dilakukan kita terpaksa kembali ke pangkal segala urusan yakni beriman kepada-Nya. Roh istikharah (merujuk kepada Allah) itu bukan hanya diawal perkahwinan, tetapi di pertengahan, di sepanjangnya, sehinggalah sampai ke hujungnya... syurga. Inilah istikharah cinta!
Sumber : http://iluvislam.com/inspirasi/motivasi/4349-istiharah-itu-juga-perlu-mujahadah.html

No comments: