Sunday, 11 March 2012

Ketahui tentang takdir dan kisahnya (Bukti cinta Allah)


"Kalau benar Allah tu kejam, kau dah pun hangus disambar petir waktu kau lalai tunaikan kewajipan kau sebagai hamba Allah. Contohnya waktu kau tidak mengerjakan solat'
Itu kata seorang temanku sewaktu aku menanyakan soal Neraka dan Syurga. Sewaktu aku menanyakan di manakah tempatnya arwah Iyai, Atu dan Paksu sekarang ini.
Iyai, Atu dan Paksu sudah lebih setahun meninggalkan kami. Dalam payah menerima kenyataan itu, aku pujuk hati aku. Dunia ini hanya sementara dan akhirat juga yang abadi.
Berfikir lagi......
'Perpisahan' itu sebahagian daripada rencana dunia. Iyai, Atu dan Paksu hanya permulaan untuk sengsara ku menghadapi 'perpisahan' dengan orang yang amat aku sayangi.
Sedangkan, di dunia ini masih bernafas mereka yang sangat-sangat aku sayangi dan entah bila 'perpisahan' lain akan terjadi. Maka aku simpan angan-angan untuk bertemu mereka akhirat nanti.
Namun, apakah aku akan bertemu dengan mereka? Sedang aku sendiri tidak pasti di manakah tempat untuk aku di akhirat sana.
Lebih setahun aku cuba merungkai persoalan-persoalan yang sering timbul dalam otak. Akhirnya aku menemui sesuatu yang aku terlalu jahil selama ini.
Yang pertama aku ucapkan, Alhamdullilah... Terima kasih ya Allah atas cinta ini. Dan Subhanallah.... Begitu agungnya cinta Allah.... Akhir sekali, Astagfirullah.... Ampunkan aku wahai Tuhan atas kekhilafanku mempersoalkan bukti cinta-Mu...
Saat menghadapi musibah, aku dipujuk dengan ungkapan, 'itu takdir Allah, kita harus terima'. Dalam rasa sakit hati, kecewa dan sedih mengharunginya aku tidak mampu berfikir secara positif.
Malah, aku mempersoalkan apa itu takdir? Kenapa takdirku begitu? Syukur, kalau bukan kerana soalanku itu, aku mungkin tidak akan memperolehi jawapannya. Mungkin itu sebahagian daripada hikmah Allah atas kurnia musibah kepada ku.
Hidup kita sudah ditentukan sejak azali lagi. Sudah tertulis dalam takdir jalan yang akan kita lalui sepanjang hidup. Maka kenapa Tuhan perlu menghukum kita atas jalan cerita yang ditulis-Nya?
Selalu kita hanya menurut kata takdir. Kita semat dalam minda, hidup kita sudah ditentukan Allah. Kita tidak mampu mengubahnya kerana kita tidak berkuasa. Benar, yang berkuasa hanya Allah.
Hanya Allah yang mampu mengubah segalanya. Kerana itu kita perlu berdoa. Berdoa kepada Allah untuk menjadikan kita lebih baik. Dengan doa, banyak perkara yang boleh berubah. Itulah kelebihan DOA.
Dan aku bertanya lagi... Dengan doa kita boleh mengubah takdir kita?
(aku rasa semakin malu dengan kejahilanku. Tapi malu itu aku tolak ke tepi demi ilmu)
Ya... Ada takdir yang boleh berubah. Takdir tidak semestinya bermaksud kata muktamad untuk hidup kita.
Takdir ada dua, takdir mubram dan takdir mu'allaq.
Takdir mubram ialah qadha dan qadar yang tidak dapat dielakkan. Ia pasti terjadi pada diri manusia sedangkan manusia tidak mempunyai kesempatan atau tidak ada ikhtiar untuk memilihnya. Contohnya seperti hari kiamat dan apabila seseorang meninggal dunia.
Sebagaimana firman ALLAH S.W.T :  
'Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu, maka apabila datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat pula memajukannya' [Al-Araf:34]
Takdir mubram ini terdapat pada sunatullah yang ada di alam raya ini. Oleh kerana itu, sunnatullah tersebut juga terbahagi dua iaitu hukum-hukum kemasyarakatan dan hukum alam. Dalam al-Quran surat al- Fushilat ayat 11 dinyatakan bahawa sekali-kali tidak akan pernah terjadi perubahan pada sunnatullah.
Takdir mu'allaq pula ialah qadha dan qadar yang bergantung pada ikhtiar dan usaha seseorang mengikut kemampuan yang ada pada manusia. Dalam menghadapi takdir ini manusia berdoa, wajib berikhtiar atau berusaha ikut kemampuan demi mengubah keadaan menjadi lebih baik buat dirinya. Tentu sahaja soal berhasil atau tidak usahanya bergantung kepada ALLAH S.W.T.
Aku semakin tertarik tentang takdir mu'allaq, takdir yang boleh diubah dengan doa.
(temanku tersenyum.  mungkin dia kasihan melihat aku yang sangat teruja.)
Aku mengalihkan pandangan ke depan. Membiarkan telingaku ke arahnya. Biar aku dapat mendengar dengan lebih jelas. (sebenarnya untuk mengelak dia melihat mukaku yang sedang menahan malu dek kejahilanku)
Jangan salah faham dengan takdir mu'allaq itu. Doa saja tidak akan mendatangkan kesan. Pernah dengar makna DUIT? (selamba jer aku jawab, duit itu wang. Benda untuk kita beli sesuatu.) DUIT punya makna yang lebih dalam.
'D' = DOA        'U' = USAHA     'I' = IKHTIAR     'T' = TAWAKAL
Selain berdoa, kita perlu berusaha dan mencari ikhtiar. ALLAH S.W.T menjelaskan dalam firman-NYA :
'Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah keadaan (nasib) sesuatu bangsa sehingga bangsa itu mahu mengubah keadaan (nasib) mereka sendiri.' [Ar-Rad : 11]
Dalam konteks usaha dan ikhtiar, sebagai hamba kita perlu menggunakan akal yang dikurniakan khusus untuk kita sebagai manusia.
Sebagai contoh, apabila kita lapar perlukah kita menunggu orang lain untuk menyuapkan kita makanan yang ada di depan mata kita sedangkan kita sendiri punya tangan.
Demikian juga Tuhan. Allah telah menganugerahkan kita segala kudrat. Dengan kudrat serta akal, Allah menyuruh kita berusaha mendapatkan apa yang kita minta (melalui doa) kerana Allah telah pun memberikan permintaan kita itu (Insya-Allah).
Namun, tidak semua yang kita doakan itu akan Allah berikan. Di sinilah tawakal berperanan.
Tawakal bermaksud menerima dengan redha segala yang telah Allah kurniakan. Tawakal juga menyakini hikmah di sebalik semua yang terjadi. Ada sebab kenapa Allah tidak memakbulkan doa kita.
Sebab yang tentunya untuk kebaikan kita. Dengan tawakal juga, kita tidak akan merasa terlalu kecewa apabila Allah tidak mengabulkan doa kita kerana kita telah yakin akan hikmah di sebalik semuanya.
Apa kaitannya DUIT dengan takdir mu'allaq?
(Pemikiranku yang hanya sejengkal tentang agama ini menerbitkan pertanyaan. Temanku tidak terus menjawab, sebaliknya menceritakan aku suatu kisah sebagai contoh).
Ada seorang gadis menjumpai duit sebanyak 300 ringgit. Semasa dia menjumpai duit itu, tidak ada sesiapa bersamanya. Sudah pasti, seandainya dia mengambil duit itu tidak ada sesiapa pun tahu.
Dia mula berfikir, sama ada mangambil duit itu ataupun membiarkan sahaja. Di sini gadis itu mempunyai banyak pilihan. Melalui pilihan yang dia pilih itulah yang akan menentukan takdirnya.
Satu perkara yang perlu diketahui, takdir mu'allaqq lebih dahulu ditulis sebelum takdir mubram. seandainya gadis itu memilih untuk mengambil duit itu, maka takdir mubram akan tertulis gadis itu sebagai pencuri.
Takdir mubram tidak dapat diubah lagi kerana gadis itu telah mengambil duit yang bukan miliknya. Maka, atas kesalahan mencuri itulah gadis itu akan dihukum.
Tetapi, atas dasar cinta dan kasih Allah, gadis itu tidak terus dihukum malah diberikan kesempatan untuk menginsafi perbuatannya.
Di sini doa juga memainkan peranan. Dalam kekeliruan, gadis itu berdoa. Memohon kepada Allah untuk ditunjukkan kepadanya hidayah.
Dengan izin Allah, gadis itu mendapat ilham untuk mengembalikan duit 300 ringgit itu ke balai polis.
Oh... begitu rupanya. Hari ini baru aku tahu takdir itu ada juga yang boleh diubah dengan 'DUIT'?
Menyedari hakikat itu, kini semuanya terletak di tangan kita. Memang Allah telah menulis takdir kita, namun kita juga boleh meminta untuk menjadi yang lain. Kita masih diberikan peluang untuk menjadi yang baik. Selagi kita bernafas, selagi kita diberikan hidup, selagi itulah peluang ada untuk kita.
Lihatlah sahabat, betapa Tuhan juga punya toleransi. Sebesar mana dosa yang kita lakukan, selagi kita hidup selagi itulah pintu keampunan Allah terbuka luas untuk kita. Kita hanya perlu tepuk dada dan tanya hati kita.
Namun yang sedihnya, apabila ada antara kita yang merasa layak untuk menghukum. Dan sebilangan besar dari kita sukar untuk memaafkan.
Terlalu sukar untuk memberikan peluang kepada insan lain untuk berubah. Apakah kita sudah merasa setaraf dengan Tuhan untuk menghukum orang lain tanpa memberikan peluang?
Ya Allah, betapa singkatnya pemikiranku selama ini. Aku mencari-cari bukti cinta-Mu dari semua musibah yang menimpahku. Tetapi sukar untuk aku mendapatkannya kerana kejahilanku tentang sifat-Mu.
Terima kasih ya Allah atas kekeliruan ini kerana jika tidak kerana kekeliruan ini, tidak akan terlintas di benakku untuk mengenali-Mu dengan lebih dalam.
Semakin aku mengenali-Mu aku semakin yakin dengan kasih-MU.

No comments: