Sunday, 18 March 2012

La Adri ( Aku tidak tahu)


Dalam karya agung Hujatul Islam al-Imam Ghazali ada menyebut dalam bab pertama kitab Ihya Ulumuddin mengenai perilaku dan kenyataan ulama.
Menurut beliau ulama terbahagi kepada dua golongan yakni ulama dunya atau ulama suuk dan ulama akhirah. Ulama dunya adalah ulama yang menggunakan agama demi sedikit kepentingan keduniaan seperti habuan wang ringgit, anugerah dan pangkat.
Kebiasaan ulama jenis ini akan mendampingi para penguasa bagi memastikan matlamat mereka tercapai, malah kadang-kala mereka sanggup mengeluarkan fatwa demi membenarkan tindakan penguasa meskipun ianya adalah jelas salah di sisi syarak. 
Manakala antara ciri utama para ulama akhirat adalah tidak tergesa-gesa dalam mengeluarkan fatwa. Mereka akan sentiasa berdiri teguh dan sentiasa mencari jalan melepaskan diri daripada memberikan fatwa. 
Kata Imam Ghazali, "Jikalau mereka ditanya mengenai hukum yang benar-benar jelas ada dalam al-Quran dan Sunah, ijmak dan qias maka berfatwalah mereka.
Dan apabila ditanya kepada mereka sesuatu yang diragukan, maka mereka akan menjawab, 'La adri (aku tidak tahu)', jika mereka ditanya mengenai sesuatu yang hampir diyakininya, berdasarkan ijtihad dan tekaan mereka, maka mereka akan berhati-hati, mempertahankan diri dan menyerahkan penjawapan kepada orang lain, jika ada kemampuan tersebut pada orang lain." (Ihya Ulumuddin, jidil 1) Kerana ulama akhirat adalah berhati-hati sifatnya, dalam perbuatan mahupun kelakuan.
Pada mereka al-hazmu yakni berhati-hati besar manfaatnya, kerana mereka tahu andai ijtihad itu dilakukan tanpa suatu kajian dan ilmu khusus ia menjadi fatwa ikut-ikutan dan pastinya besar implikasinya kepada diri mereka khususnya masyarakat yang mengambil fatwa mereka sebagai pegangan.

Rasulullah SAW pernah berpesan: "Ilmu itu ada tiga bahagian: Kitab yang berbicara, Sunah yang berdiri tegak dan la adri (aku tidak tahu)". (Hadis direkodkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abdullah bin Umar, hadis marfu').
Jelas di sini bahawa kemuliaan seorang ulama itu bukan sahaja kepada ketinggian ilmu mereka namun sikap berhati-hati dan tawaduk mereka. Akhlak sebegini mungkin akan mendatangkan telahan yang pelbagai dalam kalangan masyarakat namun mereka sedar bahawa walaupun mereka berilmu pastinya diri mereka juga punya kelemahan. 
Para ulama salafus soleh antara ulama yang mempunyai kualiti ilmu, iman dan takwa yang tinggi di sisi Allah taala. Namun mereka jua dalam keadaan tertentu lebih selesa berkata la adri bagi sesuatu hukum dan perkara yang mereka tidak tekuni.
Berkata la adri juga antara cara yang lembut bagi menyatakan ketidaktahuan kita. Asy-Sya'bi  berkata, "La adri adalah setengah daripada ilmu.
Sesiapa yang berdiam diri kepada perkara yang tidak diketahuinya kerana Allah taala, maka tidak akan kurang pahalanya berbanding orang yang berkata-kata.
Kerana mengaku bodoh adalah perbuatan yang berat bagi seseorang itu." Begitu juga halnya yang berlaku kepada Abdullah Ibnu Umar saat dirinya ditanya bagi mendapatkan fatwa.
Beliau berkata dengan tegas, "Pergilah kepada ketua kamu yang sudah menerima beban tanggungjawab segala urusan manusia. Maka letakkanlah urusan tersebut kepadanya." 
Demikian juga, adalah mustahil bagi seorang manusia biasa sebagaimana tinggi dan alimnya ilmu mereka dapat menjawab semua persoalan yang diusulkan.
Sedangkan Rasulullah SAW sendiri apabila ditanya kepada Baginda sesuatu yang tidak atau belum diketahuinya, tanpa segan dan takut maruahnya sebagai pemimpin agung orang Islam tercalar, baginda akan menjawab, "La adri." Ibnu Mas'ud menerangkan, "Orang yang memberi fatwa terhadap semua persoalan yang diminta kepada mereka fatwanya adalah gila!" Seterusnya beliau menyambung, "Benteng orang alim itu adalah la adri.
Jikalau ia menyalahkan benteng itu, maka sesungguhnya bencana akan menimpa di tempat-tempat mereka berperang." Justeru, wajarlah kita sebagai orang Islam mengambil iktibar daripada para ulama muktabar salafus soleh dalam urusan harian kita.
Janganlah menjerumuskan diri kita ke dalam lembah kehinaan hanya kerana sebuah ego dan takut dianggap orang tidka berilmu.
Setiap persoalan khususnya mnegenai agama dan hukam-hakamnya mesti dijawab dengan berhati-hatyi agar tidak berlaku penambahan atau pengurangan dan jika tidak tahu maka jawab sahaja, "La adri." 
Ayuh kita hayati kisah daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, "Tatkala Rasulullah SAW ditanyakan mengenai tempat yang terbaik dan terburuk di bumi, maka Nabi SAW menjawab, 'La adri.'
Sehingga datang Jibril kepada Baginda dan ditanya kepada Jibril. Jibril menjawab, "La adri." Sehingga kemudian Allah taala sendiri yang memberitahu kepada Baginda bahawa tempat yang terbaik adalah masjid, manakala tempat yang terburuk adalah pasar." (Direkodkan oleh Ahmad, Abu Ya'la, Al-Bazzar dan Al-Hakim daripada Ibnu Umar).
Bayangkan Rasulullah sendiri tanpa memikirkan betapa malu dirinya yang dianggap sebagai seorang utusan Allah yang mendapat wahyu apabila menjawab'tidak tahu' apabila ditanya.
Namun dek kerana dirinya benar-benar tidak tahu, Rasulullah sanggup berkata tidak tahu berbanding mereka-reka seterusnya berbohong demi tidak mahu malu. Ini adalah sunnah dan teladan kepada kita umatnya, pengajaran yang sangat besar ada di sana yakni kejujuran dan kebenaran adalah lebih penting daripada kesombongan dan maruah diri sendiri.

No comments: