Tuesday, 14 February 2012

Kenali Khadijah Al-Khuwailid

Assalamualaikum. Mari kita kenali siapakah Khadijah Al-Khuwailid iaitu isteri Rasulullah S.A.W. Bonda kita yang pertama sekali memeluk agama Islam. Terima kasih kepada Fatimah Syarha sekali lagi kerana sudi berkongsi penulisan mengenai Kekasih Rasulullah ini. Mohon di sebarkan ye Fatimah Syarha ^_^


Siapakah wanita pertama yang beriman di saat semua orang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad SAW?
Siapakah wanita yang sanggup mendermakan seluruh hartanya di saat semua orang enggan memberinya?
Siapakah wanita yang mampu memberikan Rasulullah keturunan?
Siapakah wanita yang bijak meneguhkan hati seorang suami di saat semua orang membencinya?
Semua jawapan ini terhimpun pada Khadijah al-Khuwailid. Terangkat kemuliaannya sebagai murobbiah paling terang daripada segenap gugusan bintang.

Profil Khadijah

            Beliau ialah Ummu al-Qasim binti Khuwailid bin Asad bin Abdul ‘Uzza bin Qushai bin Kilab. Lahir di Ummul Qura (Makkah) sekitar 15 tahun sebelum Tahun Gajah. Keturunan suku Quraisy dari keluarga Bani Asad.
Menurut Az-Zubair bin Bakkar, sejak zaman jahiliyyah, beliau dikalungkan gelaran al-Thahirah (wanita suci) oleh masyarakat setempat. Ini disebabkan oleh sifatnya yang sukakan kebersihan dan kesucian. Ibunya bernamaFatimah binti Za’idah al-A’miriyah.
Beliau merupakan seorang usahawan wanita terkemuka. Sangat berjaya dalam bidang perniagaan. Satu kafilah dagang Khadijah yang dihantar ke Syria menyamai konsortium beberapa kafilah dagang Quraisy.
Sebelum dikurniakan darjat sebagai Ummul Mukminin yang pertama, Khadijah telah beberapa kali menikah. Suami pertamanya adalah Abu Halah bin Zurarah al-Tamimi.
Setelah kematian suaminya, beliau menikah lagi dengan A’tiq bin A’bid bin Abdullah bin Umar bin Makhzum. Namun, perkahwinan itu tidak kekal. Ramai pembesar Quraisy yang melamar Khadijah namun ditolak kesemuanya.

Pemuda yang berjaya menambat hatinya ialah Muhammad bin Abdullah yang ketika itu berusia 25 tahun. Lebih muda 15 tahun daripada usianya. Hiduplah beliau di sisi Muhammad sebagai tauladan isteri paling solehah sepanjang zaman.

Khadijah di Hati Nabi

            Khadijah merupakan isteri kesayangan Nabi Muhammad SAW. Beliau dimuliakan suami ketika hidup dan sesudah wafat. Pengorbanan beliau sentiasa dikenang. Menjadi ingatan abadi. Pujian yang sentiasa meniti di bibir Nabi terhadap insan bernama Khadijah r.ha mengundang kecemburuan Aisyah r.ha, biarpun pada saat itu Khadijah r.ha sudahpun wafat.
            Aisyah berkata, “Saya tidak pernah cemburu kepada seoorang wanita seperti kecemburuanku kepada Khadijah, kerana Rasulullah sangat sering menyebut-nyebut namanya…” (Muttafaqun a’laih).
            Aisyah melanjutkan cerita, “Jika Rasulullah SAW menyembelih kambing, maka baginda berkata, ‘Bahagikan kepada teman-teman Khadijah.’ Saya pernah membuat Rasulullah marah apabila berkata, ‘Lagi-lagi Khadijah!’ Baginda berkata, ‘Sesungguhnya saya amat mencintainya.’ (Muttafaqun a’laih).

Keutamaan Khadijah

            Antara keutamaan Khadijah yang tidak dimiliki oleh isteri-isteri Rasulullah SAW yang lain ialah:
1.      Isteri pertama Rasulullah SAW. Kekasih pertama di hati Nabi.
2.      Rasulullah SAW tidak menikahi wanita lain selama Khadijah r.ha. masih hidup. Aisyah r.ha berkata, “Selama hidup bersama Khadijah, Nabi SAW tidak menikahi wanita lain sampai Khadijah meninggal dunia.” (Diriwayatkan oleh Muslim, no. 2436).
3.      Rasulullah SAW tidak mengambil hamba wanita sehinggalah Khadijah r.ha meninggal dunia.
4.      Isteri yang mampu memberikan keturunan kepada Rasulullah SAW.
5.      Rasulullah SAW tidak pernah berasa marah kepada isteri ketika hanya mempunyai seorang sahaja isteri iaitu Khadijah. Hanya setelah mempunyai ramai isteri, karenah para isteri kadang-kadang membuatkan baginda marah. Marah-marah sayang. Penuh hikmah.
6.      Insan pertama solat bersama Nabi.
7.      Wanita pertama di antara isteri-isteri Nabi yang mendapat jaminan syurga.
8.      Orang pertama menerima salam daripada Allah.
9.      Wanita pertama yang masuk dalam kategori shiddiq (yang benar).
10.  Orang pertama yang kuburnya dipersiapkan oleh Nabi SAW.
Ibu yang Barakah

            Khadijah melahirkan keturunan bagi Nabi. Permata hati mereka seramai 6 orang iaitu 2 lelaki dan empat perempuan. Mereka adalah Al-Qasim, Abdullah, Fatimah, Ummu Kulthum, Zainab dan Ruqayyah. (Rujuk  Dalailun Nubuwwah, al-Baihaqi, hlm. 70).
            Beliau tabah menerima takdir apabila semua puteranya dijemput mengadap Allah ketika masih kecil. Keberkatannya terserlah apabila dipilih oleh Allah SWT untuk melahirkan penghulu wanita di syurga iaitu Fatimah binti Muhammad.

Kematangan Khadijah
1.    Matang memilih pasangan hidup
Beliau menolak sekian banyak lamaran tokoh-tokoh Quraisy kerana dapat menduga ketertarikan mereka lebih kepada tamakkan harta Khadijah. Wanita yang matang menilai ini menemui keluhuran akhlak pada peribadi Nabi yang amanah menguruskan hartanya bukannya diperhambakan oleh harta. Peribadi Rasulullah SAW dirisik melalui hamba lelakinya Maisarah.
Hasrat hati lalu diungkapkan melalui sahabat karibnya, Nafisah binti Munabbih. Beliau tidak mengungkapnya sendiri kerana ingin menjaga martabat malu seorang wanita. Rasulullah SAW menerima hasrat itu dengan lapang dada. Lalu, disampaikan keinginannya menikahi Khadijah kepada bapa-bapa saudaranya. Maka, Abu Thalib, Hamzah dan bapa-bapa saudara Nabi yang lain menemui bapa saudara Khadijah, A’mr bin Asad untuk meminang Khadijah bagi pihak Muhammad.
Walaupun menikahi seorang lelaki miskin bernama Muhammad, Khadijah bahkan terasa makin  kaya. Kaya harta dan ditambah kaya jiwa. Kekayaan budi pekerti Muhammad menambahkan kekayaan hidupnya. Apatah lagi, Muhammad sangat cekap berniaga, amanah dan datang daripada keturunan terhormat.
2.      Segera menyahut kebenaran
Pada suatu hari, Rasulullah SAW pulang ke rumah setelah diajar Jibril cara mengerjakan solat. Rasulullah SAW pulang dan mengkhabarkan kepada Khadijah. Khadijahpun segera minta diajar dengan berkata, “Tunjukkanlah kepada dinda apa yang ditunjukkan Jibril kepada kanda.”
Rasulullah SAW lantas mengajarnya berwudhuk dan solat. Kemudian, mereka solat bersama-sama. Setelah solat, Khadijah bersaksi atas kerasulannya. Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam Kitab Al-Ishaabah, “Riwayat ini merupakan bukti paling jelas tentang keislaman Khadijah.”
Saat itu, solat lima waktu belum diwajibkan. Solat yang diajar Jibril hanyalah solat dua rakaat di waktu pagi dan solat dua rakaat di waktu malam.
3.     Menghormati Ibu Susuan Nabi
Khadijah dengan senang hati bersama suaminya membawa Ummu Aiman, ibu susuan Nabi ke rumahnya setelah pernikahan mereka. Ummu Aiman yang berjasa itu dimuliakan seperti memuliakan ibu kandungnya sendiri.
Bukan itu sahaja, ketika Halimatus Saadiah datang mengadu kepada Nabi tentang penderitaan kemiskinan di Kampung Bani Saad, Khadijah bermurah hati menghadiahkan 40 ekor kambing dan seekor unta untuk membawa air dan bekalan yang cukup. Beliau sedar, suaminya membesar dalam pelukan Halimah. Kampung Bani Saad itu pula penuh nostalgia dalam hari-hari kecil suaminya. Itulah cara Khadijah memuliakannya.
4.      Peka membaca apa yang disukai Nabi
Khadijah tahu bahawa Nabi amat menyukai hambanya, Zaid bin Haritsah. Tanpa berlengah lagi, beliau menghadiahkan hambanya itu kepada suami tercinta. Zaid lalu dimuliakan Nabi menjadi anak angkatnya dengan gelaran Zaid bin Muhammad sebelum larangannya disyariatkan. 
5.     Menenangkan suami yang ketakutan
Dalam peristiwa agung penurunan wahyu yang pertama di Gua Hira’, prosesnya amat berat dan melelahkan. Gema suara Jibril yang menyeru ‘Bacalah!’ terasa amat menggerunkan. Rasulullah SAW pulang dalam keadaan ketakutan.
“Selimuti kanda! Selimuti kanda!” Pinta Rasulullah tatkala disambut isterinya.
Setelah itu, Rasulullah berkongsi ketakutannya dengan isteri tercinta. Dengan lembut bicara dan tenang wajahnya, Khadijah menghiburkan, :”Jangan khuatir. Berbahagialah, sesungguhnya Allah tidak mungkin akan menghinakan kanda dengan kejadian itu. Selama ini kanda sering menyambung silaturrahim, jujur dalam berbicara, meringankan beban orang yang susah, membantu orang yang lemah, menghormati tamu, dan mendukung setiap kebenaran.” (Rujuk Sahih Muslim).
Beliau dengan bijaksana membawa suaminya berjumpa Waraqah bin Naufal yang alim. Ia makin meneguhkan keyakinan suaminya.
6.      Menjadi orang pertama memeluk Islam
Imam Izzuddin bin al-Atsir rahimahullah berkata, “Khadijah adalah manusia pertama yang memeluk Islam” (Usudul Ghaabah, hlm. 78). Dialah peneguh dakwah Nabi. Mengorbankan seluruh kekayaannyademi agama yang diimani. Saat orang Islam ditindas, didera dan dipulaukan, beliau tetap di belakang suami, seorang Nabi.

Allah Berkirim Salam

            Inilah peribadi Khadijah yang menerima salam daripada Allah SWT. Abu Hurairah menyatakan bahawa Jibril datang kepada Nabi SAW sambil berkata, “Wahai Rasulullah, Khadijah sedang berjalan kemari. Ia membawa bekas yang berisi kuah, makanan dan minuman. Jika ia sampai kepadamu, maka katakanlah bahawa Tuhan-Nya dan aku berkirim salam kepadanya. Dan sampaikanlah khabar gembira kepadanya bahawa ia  mendapat sebuah rumah di syurga yang dibuat daripada buluh yang tidak dirisik dan tidak melelahkan.” (Muttafaqun alaih).
            Fatimah pernah bertanyakan ayahnya tentang hal itu, “Adakah buluh yang berada di sekitar ini?” Rasulullah menjawab, “Tidak. Melainkan buluh yang bertatahkan intan, mutiara dan berlian.”

Tahun Kedukaan

            Apabila dakwah Islam mencecah tahun kesepuluh dan mengalami pelbagai peristiwa besar, Rasulullah SAW mengalami ujian getir apabila Allah menjemput kekasih hatinya. Dialah Khadijah yang teguh berdiri di belakangnya selama ini. Hati bertambah pilu apabila kematian Khadijah disusuli kematian Abu Thalib yang turut banyak membantu dakwah baginda. Hingga diisytiharkan tahun itu sebagai Tahun Kedukaan

No comments: